KUALA LUMPUR - Dengan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), status kualiti udara di beberapa kawasan di sebelah utara dan pantai barat Semenanjung Malaysia bertambah baik.
“Bagaimanapun, kualiti udara itu masih belum stabil kerana cuaca panas berterusan di rantau ini menyebabkan berlakunya kebakaran tempatan dan peningkatan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia,” kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JAS sehingga semalam, bilangan titik panas di Sumatera meningkat secara mendadak kepada 428 berbanding 310 pada hari sebelumnya.
“Selain itu peta jerebu serantau menunjukkan wujudnya lingkaran jerebu sederhana di pantai timur Sumatera Tengah serta merangkumi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.”
Bacaan IPU di 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS pada 11 pagi tadi menunjukkan 17 lokasi berada pada tahap baik, 34 pada tahap sederhana dan tiada lokasi mencatatkan IPU tidak sihat.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut beberapa kes kebakaran setempat yang berlaku semalam dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah secara haram.



