JEMPOL – Generasi kedua Felda di seluruh negara tidak dipinggirkan dalam soal memiliki rumah sendiri apabila projek perumahan berkaitan akan dimulakan tidak lama lagi.
“Sebagai permulaan, projek perumahan berkenaan akan dibangunkan di kawasan Felda Palong 15 dengan 300 rumah akan dibina bagi Felda Wilayah Raja Alias,” kata Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.
Kajian tapak dan penilaian tanah sudah dilakukan pihak bertanggungjawab jelasnya, selain tender bagi pembinaan juga sudah dikeluarkan.
“Pihak pengurusan Felda akan memikirkan satu cara yang sesuai bagi menambah jumlah rumah yang sedia ada untuk menampung keperluan generasi kedua ini.”
Sehubungan itu, dengan pembinaan ini nanti, generasi kedua akan mendapat keselesaan dalam meneruskan kehidupan di tanah rancangan terutama mereka yang ketika ini menumpang di rumah ibu bapa.
“Saya juga berharap apabila sudah memiliki rumah sendiri kelak, generasi kedua Felda akan terus tinggal di tanah rancangan untuk bekerja di ladang-ladang Felda,” katanya.
Mengenai pemberian durian runtuh bagi generasi kedua Felda, Isa menjelaskan insentif itu akan diserahkan selepas Aidilfitri dan tarikh penyerahan akan diumumkan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rahmat Ramadhan dan Majlis Berbuka Puasa bersama Pengerusi Kumpulan Felda di Masjid As-Solihin, Felda Palong Enam di sini, kelmarin.
Pada majlis berkenaan Isa turut menyampaikan bonus raya untuk peneroka, bantuan kepada masjid dan surau serta sumbangan kepada setiap tanah rancangan untuk mengadakan majlis hari raya yang keseluruhannya berjumlah hampir RM8 juta.
Turut hadir, Pengarah Komuniti dan Koordinasi Felda, Anuar Malek; Pengarah Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Palong, Datuk Aziz Samsudin serta Ketua Peneroka Negeri, Othman Parman.
Pada sebelah petangnya Isa merasmikan Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong Enam yang dibina pada 2007 dan dilengkapi kemudahan gelanggang futsal, badminton serta bola tampar selain surau dan tandas.



