MAKKAH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menyatakan pendirian tegas terhadap isu di tiga negara Islam pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di sini.
“Ketiga-tiga isu itu ialah pergolakan di Syria, pengiktirafan negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan isu penindasan umat Islam di Myanmar,” ujarnya.
Selain itu katanya, beliau akan menyentuh isu-isu itu dalam ucapannya awal dan seterusnya menyatakan pendirian Malaysia.
“Kita akan menyokong cadangan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam OIC kerana keadaan di negara itu telah meruncing sehingga rakyat kehilangan nyawa dan harta benda.”
Perdana Menteri mengetuai delegasi negara pada sidang kemuncak luar biasa itu yang bermula malam Selasa.
“Malaysia berpendapat telah tiba masanya untuk kerajaan Syria memberhentikan keganasan dan menghormati hak rakyatnya yang mahukan pilihan raya secara demokratik diwujudkan di negara itu,” jelasnya.
Dalam pada itu bagi isu Palestin pula, Najib berkata, Malaysia akan mendesak agar PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara anggotanya.
“OIC harus membuat pendirian agar impian menjadikan Palestin sebagai negara berdaulat dan anggota PBB menjadi realiti.”
Menurutnya, isu negara Palestin adalah satu isu yang sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia.
“Kami mahukan Palestin diiktiraf oleh PBB dalam persidangannya September ini,” tegasnya.
Najib berkata Malaysia juga mahukan OIC terus memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang didakwa ditindas dan dianiaya.
“OIC telah membentuk sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai 'Fact Finding Mission' untuk melawat Myanmar dan mendapatkan maklumat sebenar mengenainya dan saya pernah menulis surat kepada Presiden Thein Sein dan beliau telah membalasnya dengan menyatakan bahawa isu itu (penindasan umat Islam) bukanlah sebesar seperti yang digambarkan oleh dunia luar dan oleh itu kita tunggu laporan dari Fact Finding untuk mendapatkan maklumat yang lengkap," katanya.
Beliau berkata di Malaysia sahaja terdapat lebih 90,000 pelarian Rohingya dan kerajaan sedang berusaha membantu mereka.



