KUALA LUMPUR - Pengerusi Gabungan Selamatkan Syria (GSS), Naim Jusri pada Khamis lalu memuji langkah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang menyokong penggantungan Syria dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Namun untuk langkah lebih proaktif, beliau menggesa kerajaan Malaysia supaya menutup kedutaan Syria di Malaysia bagi menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kezaliman yang berlaku di Syria.
Beliau mengaskan perkara itu dalam sidang media sempena lawatan kerja tiga pimpinan Rabitah Ulama Syria ke Malaysia di Hotel Putra di sini iaitu Syeikh Dr Khalik Kindo, Syeikh Dr Mohammad Shawaf dan Syeikh Khalid Bakir.
Rangka lawatan hingga 20 Ogos ini adalah untuk bertemu pimpinan negara, tokoh masyarakat dan rakyat Malaysia bagi memberikan gambaran terkini dan sahih tentang pergolakan yang berlaku di Syria sekarang.
Antara jadual yang telah dirancang GSS sempena lawatan tersebut adalah pertemuan bersama YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Yassin, pertemuan bersama Mufti Selangor, khutbah Jumaat di Masjid UIA, dan ‘roadshow’ ke Masjid sekitar Lembah Klang.
GSS juga mengajak kerajaan dan rakyat Malaysia agar prihatin terhadap kesengsaraan rakyat Syria dan melakukan sesuatu bagi menyokong perjuangan mereka di sana.



