KUALA LUMPUR – Perpaduan menerusi semangat 1Malaysia saja yang membolehkan negara menjadi semakin baik pada masa akan datang, demikian kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Semangat yang sama juga menjadi simbol kejayaan negara pada masa sekarang.”
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, selama ini kita bersama-sama merempuh segala dugaan dan cabaran sejak 55 tahun lalu.
“Tidak mungkin ada negara lain yang mampu menyatukan rakyatnya daripada pelbagai etnik untuk bersama-sama menikmati teh tarik di kedai mamak sambil menonton aksi atlit negara di Sukan Olimpik dan meraikan kejayaan negara seperti yang kita lihat di negara ini,” katanya.
Oleh itu, tidak kira perbezaan etnik, fahaman agama, mahupun bangsa supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan semangat perpaduan ini.
“Rakyat perlu tahu bahawa kejayaan hari ini adalah hasil perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan tiada satu pun bangsa di negara ini yang menyokong perjuangan komunis,” ujarnya menerusi Blog 1Malaysia, semalam.
Selain itu, banyak perkara yang boleh dipelajari katanya, jika rakyat menghayati sejarah hasil perjuangan sepanjang proses negara mencapai kemerdekaan.
“Kita juga seharusnya tidak lupa yang kejayaan ini juga adalah hasil perpaduan kita dengan etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Dayak dan Kadazan Dusun.
Menurutnya adalah mustahil mengecapi kejayaan seperti hari ini secara bersendirian.
“Sudah pasti ia didorong kepelbagaian lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing hingga menjadikan kita mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, rakyat diminta meraikan hari kemerdekaan tahun ini dengan memperingati jasa pejuang kemerdekaan yang menghadiahkan sebuah negara berdaulat.



