Sejak lebih dua minggu lepas, negara telah digemparkan dengan pendedahan skandal projek Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa wujudnya campur tangan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dalam menganugerahkan projek tersebut kepada konsortium George Kent JV bernilai RM960 juta. Kontrak tersebut adalah bagi kerja-kerja projek tambahan sistem LRT Ampang “The Engineering, Procurement, Construction, Testing and Commissiong of System Works for the Ampang Line Extension Project”.
Dakwanya lagi, merujuk kepada mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 25 Januari 2012 yang dipengerusikan oleh PM, kerajaan telah memutuskan untuk menganugerahkan kontrak projek ini kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys. Namun, berita di Business Times pada 22 Jun 2012 memetik sumber syarikat Prasarana yang mengesahkan keyakinan bahawa George Kent akan memenangi bidaan projek tersebut telah menimbulkan keraguan besar kepada kita bagaimana syarikat yang gagal dalam penilaian teknikal mampu memenangi kontrak kerja-kerja pembinaan sistem LRT Ampang. Kegagalan George Kent dalam penilaian teknikal ini telah didedahkan oleh Rafizi Ramli dalam sidang media lepas dan di dalam blognya.
Sistem Rel berteknologi tinggi
Molek kiranya saya menceritakan sedikit mengenai sistem rel LRT yang digunakan di Malaysia. Sistem rel yang digunakan untuk Light Rapid Transit atau Mass Rapid Transit adalah jenis Third Rail. Sistem ini membekal kuasa elektrik kepada tren melalui “semi-continuous rigid conductor” atau “conductor rail” yang dipasang di sepanjang bawah landasan. Kuasa elektrik yang dijana adalah tinggi yakni sebanyak 750VDC. Oleh itu, bukan sebarangan kontraktor yang mampu untuk membina dan memasang sistem Third Rail ini kerana ia memerlukan pengetahuan dan kepakaran teknikal terhadap sistem elektrifikasi dan semboyan.
Dalam membina satu sistem rel baru, yang mahal adalah sistem elektrifikasi dan semboyan (signalling) disebabkan sistem ini berteknologi tinggi dan memerlukan kepakaran teknikal untuk membinanya. Sebagai contoh, sistem LRT laluan Kelana Jaya ke Gombak dikendalikan oleh sistem Pusat Kawalan tanpa menggunakan pemandu. Sebarang kesilapan dan masalah teknikal pada sistem semboyan dan elektrifikasi boleh menyebabkan berlakunya kemalangan dan nyawa penumpang pastinya diancam bahaya.
Keselamatan rakyat
Apa yang membimbangkan saya adalah konsortium George Kent yang gagal dalam penilaian teknikal oleh syarikat perunding kejuruteraan, HSS Integrated Sdn Bhd/Halcrow ini dipilih oleh kerajaan Malaysia seperti didedahkan oleh Rafizi Ramli. Selain itu, laporan perunding kejuruteraan ini juga mengesahkan bahawa George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman yang melayakkannya dianugerahkan tender ini.
Adalah malang sekiranya kerajaan membuat kesilapan dalam memilih kontraktor yang layak untuk tender ini dan seterusnya membahayakan nyawa ratusan ribu rakyat yang menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari. Mengikut rekod pada tahun 2006, tren laluan Ampang ke Sentul Timur pernah mengalami kemalangan di Stesen Sentul Timur apabila melanggar penghadang konkrit dan tergantung di ketinggian 25 meter namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Isu kerosakan teknikal pada tren LRT juga hangat diperkatakan pada tahun 2006 sehingga Menteri Pengangkutan waktu itu, DS Chan Kong Choy mengarahkan perunding asing untuk mengaudit kejadian kes kemalangan dan kerosakan tren LRT.
Untuk makluman tentang tren baru laluan Ampang, Kementerian Kewangan telah menganugerahkan kontrak pembelian 20 set tren tersebut kepada syarikat CSR Zhuzhou dari China dengan nilai bidaan RM530 juta pada bulan April lepas yang didakwa adalah terendah jika dibandingkan bidaan lain. Tren ini dijangka mampu membawa penumpang sebanyak 1,308 orang dan berkelajuan 80km/sejam.
Jika pembelian tren telah dimuktamadkan dengan bidaan terendah dan kemampuan teknikal yang baik, maka keputusan untuk pemberian tender kerja pembinaan ini perlulah dilakukan sedemikian rupa. Kerajaan perlu menyakinkan rakyat bahawa perkhidmatan LRT ini cekap dan selamat dengan pemberian tender kerja pembinaan tersebut kepada kontraktor yang kompeten dan berkelayakan. Rakyat tiada pilihan lain melainkan menggunakan pengangkutan awam terutama pengangkutan rel untuk menjimatkan kos pengangkutan dan mengelakkan kesesakan di jalan raya. Saranan kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam perlu disusuli dengan penyediaan sistem pengangkutan awam yang selamat dan efisien.
Adalah malang sekiranya kerajaan membuat kesilapan dalam memilih kontraktor yang layak untuk tender ini dan seterusnya membahayakan nyawa ratusan ribu rakyat yang menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari.
Penulis adalah seorang jurutera yang pernah berkhidmat dalam industri rel dan automotif. Beliau juga adalah Alumnus Akademi Pak Sako dan Sekolah Politik.



