Selasa, 21 Mei 2013

Kemaskini Terakhir10:46:13 AM EST

Anda di sini: Vista > Jelajah Dakwah > Aidiladha di Selatan Thailand – Bahagian II

Aidiladha di Selatan Thailand – Bahagian II

Shareaidiladhathai

Selesai urusan di Pattani, kami bergerak ke Yala. Saya sempat singgah mengambil gambar Telaga Hang Tuah. Betul atau tidak, hanya Allah yang Mengetahui. Di Universiti Islam Yala, korban dilakukan pada keesokan harinya. Jadi kami sekadar bersolat di masjidnya dan bergambar bersama pelajar-pelajar dari China dan Kemboja yang tidak dapat balik beraya. Luas universiti ini lebih 100 ekar (40 hektar).

aidiladhathai10Akhirnya, kami menuju ke Narathiwat untuk bermalam di sana. Esoknya ada program Qurban Perdana. Dalam perjalanan, kami sempat menziarahi masjid terbesar di Asia Tenggara, Masjid Jemaah Tabligh. Masjid ini dan juga madrasah di sebelahnya masih lagi dalam pembinaan.

Kami menunaikan solat Subuh pagi ini di sebuah masjid yang Ustaz Mat pernah menyampaikan kuliah. Beliau diminta menjadi Imam dan seterusnya memberi tazkirah. Balik dari masjid tersebut, kami terus bersiap-siap untuk ‘check out’. Semasa bersarapan, kami bertemu pula dengan rombongan dari Singapura, 3 lelaki dan 4 wanita. Mereka pun turut mengagihkan sendiri haiwan korban. Salah seorang daripada mereka pernah mengikuti kuliah Ustaz Mat – ah, betapa kecilnya dunia ini! Saya ‘tabik spring’ pada ahli rombongan ini. Walaupun pada agakan saya umur mereka melebihi 50 tahun (melainkan dua orang yang kelihatan dalam lingkungan 40-an), mereka masih gagah memandu sendiri dari Singapura.

Lokasi utama hari ini ialah Qurban Perdana di sebuah Pejabat Daerah di Yala. Korban semua lembu JIM melalui Maahad Muhammadi yang diuruskan oleh Ustaz Daud dilaksanakan di sini. Selebihnya adalah sumbangan NGO lain dari Malaysia. Wakil dari semua 13 buah kampung di daerah tersebut dipanggil untuk melaksanakan korban di Pejabat Daerah. Majlis dirasmikan oleh ADUN Daerah, seorang Melayu. Wakil anggota tentera turut sama hadir dan menyampaikan sumbangan (tidak pasti berapa ribu bhat). Saya berjumpa dengan Lt Kolonel (tidak sempat pula mendapatkan namanya) dan terpaksa pula meminta Ustaz Mat menjadi penterjemah. Membuka bicara, saya menceritakan bahawa ketika di sekolah menengah dahulu, sekolah saya mengadakan perlawanan ragbi persahabatan setiap tahun dengan King's College dari Bangkok.

Lokasi kedua untuk hari ini ialah sebuah sekolah di Yaring, Pattani. Sekolah ini dijanjikan sumbangan lebih kurang RM800,000 dari Timur Tengah. Setelah menerima RM160,000, bantuan tambahan tidak diterima langsung. Akibatnya pihak sekolah dan pengendalinya terpaksa berhutang dengan kontraktor. Bangunan asrama yang dibina pun tak siap sepenuhnya. Akhirnya persekolahan dimulakan dengan keadaan serba daif. Pelajar yang tinggal di asrama terdiri daripada 70 lelaki dan 70 perempuan. Pelajar yang hanya datang untuk kelas al-Quran pula seramai 600 orang setiap hari. Ketika banjir melanda Pattani, sekolah ini pun terkena kesannya. Banyak juga peralatan, buku dan al-Quran yang perlu dilupuskan.

Berada di sekolah ini mengingatkan saya semasa menjadi Pendaftar di Sekolah Islam Al-Amin, juga semasa diminta memulakan operasi Sekolah Islam Adni dan seterusnya menguruskannya selama dua tahun. Saya sempat berbual sekejap dengan pengendalinya, Abdullah Soontorn. Disebabkan beliau sibuk melayan ibu bapa yang datang untuk makan, saya membuat keputusan untuk berjumpanya di sebelah malam. Disebabkan korban sudah dibuat lebih awal, kami datang untuk makan sahaja. Kami dijamu daging korban dan minum "air bateri" (botol air mineral di sini seakan-akan botol air bateri di Malaysia). Makanan pula dihidang dalam dulang - setelah bertahun-tahun tidak merasa makan dalam dulang.

Dalam perjalanan ke hotel, kami sempat singgah di rumah mertua Ustaz Mat melihat bagaimana masyarakat Islam Pattani menyambut Aidladha. Tidak seperti di Malaysia, sepanjang hari raya dan hari tasyrik, mereka akan keluar berziarah, bersiar-siar bersama keluarga. Budaya open house tidak wujud. Sebaliknya, ada juga kampung yang membuat keraian di kawasan lapang. Biasanya mereka akan membuat hiasan dan pentas. Ada persembahan nasyid, bacaan al-Quran dan lain-lain.

Setibanya di rumah mertua Ustaz Mat, pentas telah diruntuhkan – kami terlepas acara persembahan. Yang sedang berlangsung adalah acara tarik tali antara kanak-kanak perempuan. Sementara itu, pasukan sepak takraw lelaki sedang memanaskan badan. Saya menjangkakan mereka akan bertarung selepas acara tarik tali. Kelihatan juga askar-askar Thai yang turut sama menjadi penonton. Mereka lengkap bersenjata dan memakai jaket kalis peluru – sentiasa bersedia kalau-kalau ada serangan dari orang kampung.

Pada sebelah malamnya, kami mengerjakan solat jamak Maghrib & Isyak di Fakulti Islam, Princess of Songkhla University. Seterusnya kami dijamu di Restoran Pak Mat tidak jauh dari situ. Sambil makan, saya berkongsi pengalaman yang ada dalam bidang pendidian dengan Abdullah Soontorn. Pada mulanya saya ingin juga berjumpa dengan beberapa orang pengusaha koperasi, tetapi hajat tersebut tidak kesampaian.

Apabila balik ke hotel, kami terserempak lagi dengan kumpulan dari Singapura dan IHH. Daripada perbualan, kami diberitahu jumlah korban yang diagihkan dari Jerman adalah sebanyak 70 ekor lembu.

Untuk subuh hari terakhir, kami bersolat di Masjid Abdul Rahman dalam kompleks pendidikan yang diusahakan oleh Dr Ismail Lutfi, seorang tokoh agama dan akademik di sini. Sementara menunggu iqamah, saya disapa oleh seorang pakcik tua yang badannya sudah bongkok. Umurnya mungkin lebih 80 tahun. Agaknya sebab dia tidak pernah melihat saya di situ sebelumnya. Ketika solat, kami berdiri bersebelahan. Walaupun bertongkat, beliau masih gagah dan mampu solat berdiri, cuma pada rakaat kedua dia duduk sebentar sebab surah yang dibacakan agak panjang.

Solat diimamkan oleh Dr Ismail sendiri dan disusuli tazkirah ringkas daripada beliau. Selesai tazkirah, boleh dikatakan semua makmum masih lagi berada di masjid, meneruskan aktiviti dengan bacaan doa al-Mathurat, zikir dan membaca al-Quran. Selepas solat Dhuha, baru masing-masing beredar. Ketika pakcik tua itu beredar, barulah ustaz Mat menggamit dan memperkenalkannya. Beliau ayah Dr Ismail rupanya.

Kemudian Dr Ismail pula yang mengajak kami ke pejabatnya. Walaupun beliau sibuk, lebih sejam kami dilayannya. Rupa-rupanya beliau telah pun meminta ahli keluarganya menyiapkan sarapan untuk kami. Selepas pukul 9.00 pagi baru kami bergerak dari rumah beliau. Sebelum beredar, beliau telah menghadiahkan beberapa hasil penulisan beliau termasuklah buku "Haji Mabrur".

Sebenarnya, pada malam sebelumnya kami telah berjanji dengan Abdullah Soontorn untuk berjumpa di sebuah bank pada jam 9.00 pagi untuk menyelesaikan urusan kewangan Qurban JIM yang belum selesai. Kami terpaksa mengubah suai sedikit janji temu itu disebabkan kelewatan tersebut. Akibatnya, kami tidak sempat untuk ‘check out’ dulu, sebaliknya terus ke bandar. Kelewatan tersebut bagaimanapun tidak merugikan kerana banyak perkara boleh dimanfaatkan hasil daripada perbualan dengan Dr Ismail.

Dalam perjalanan, kami sempat singgah di Radio Risalah. Radio Islam ini boleh didengar di empat wilayah di selatan Thai. Ustaz Alias al-Hafiz dan Ustaz Ghazali, yang teribat dengan program Qurban JIM, merupakan antara mereka yang menggerakkan siaran ini. Asalnya mereka ingin membuat temu bual berkenaan Qurban JIM. Tetapi disebabkan kami sudah kesuntukan masa, perlu pula berkejar ke lapangan terbang Hat Yai yang jaraknya lebih 100 kilometer, akhirnya kami hanya sempat bergambar di luar bangunan sahaja. Selesai urusan di bank, barulah ada peluang membeli sedikit ole-ole. Dengan masih lagi berkain pelikat, di tengah-tengah bandar, ole-ole yang sempat dibeli hanyalah makanan yang tak biasa ditemui di Malaysia.

Sepatutnya destinasi lawatan terakhir kami ialah wilayah Songkhla. Malangnya, disebabkan lokasinya agak jauh dari lebuh raya, kami terpaksa batalkan, khuatir kalau-kalau terlepas penerbangan balik ke Malaysia. Ustaz Mat berjanji untuk singgah dalam perjalanan balik nanti, walapun acara korban sudah selesai dilaksanakan.

Disebabkan tidak jadi ke lokasi terakhir, kami mempunyai sedikit masa untuk singgah makan di pekan Hat Yai. Sempat juga saya mengambil gambar "Masjidna-Khuanlang". Di luar masjid ada disediakan bangku, yang antaranya adalah sumbangan daripada syarikat Malaysia. Selepas itu barulah kami bergerak ke Lapangan Terbang Hat Yai untuk menaiki pesawat AirAsia ke LCCT.

Alhamdulillah, musafir empat hari ni sungguh bermanfaat. Banyak ruang untuk bekerjasama dengan masyarakat Islam di Selatan Thai. Banyak juga tips dan tazkirah yang diperoleh terutamanya daripada Ustaz Mat dan Dr Ismail Lutfi. Setelah bermusafir itu juga, baru terbuka mata hati melihat kebesaran dan keberkatan ibadah korban dengan sebenarnya. Barulah juga nampak betapa signifikannya hadis yang menyatakan, “Korban adalah ibadah yang paling utama" sewaktu Aidiladha dan hari-hari tasyrik. Allah yang Maha Mengetahui.

Kelainan di Selatan Thai

1. Kubur: Jika kubur di negara kita biasanya dihiasi dengan binaan, di sana cuma ada batu sebagai tanda. Tiada batu nisan dan tiada sebarang binaan atau tanda mengelilingi kubur. Alangkah bagusnya kalau di Malaysia juga begini.

2. Sekatan jalan dan tentera: Terdapat sungguh banyak sekatan jalan di sepanjang jalan, termasuk di lebuh raya. Begitu juga keadaannya jika ada pejabat kerajaan. Kerapkali juga berselisih atau bertemu dengan ‘Humvee’ tentera yang membuat rondaan, dan kadang-kadang dua buah serentak. Anggota tentera yang lengkap bersenjata dan memakai jaket kalis peluru ini juga sering berkeliaran dan setiap kali mesti sekurang-kurangnya berdua. Kekhuatiran terhadap penembak curi sentiasa menghantui mereka.

3. Sambutan Aidiladha: Cara mereka menyambut Aidiladha agak berlainan. Sepanjang hari tasyrik, mereka masih lagi melaram. Bersiar-siar dan berziarah adalah aktiviti biasa. Ada juga kampung yang membuat keraian dengan mengadakan persembahan dan permainan.

aidiladhathai10 aidiladhathai2-2 aidiladhathai2-3
Lihat batu-batu di kawasan lapang berumput. Hanya itulah penanda kubur. Seorang askar mengeluarkan wang di ATM, manakala seorang lagi berkawal. Acara tarik tali kanak-kanak perempuan di sebuah kampung di Kerisek.

4. Bahasa dan penulisan:
a. Bahasa utama: Di Wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani, bahasa utama masih lagi bahasa Melayu, manakala di Songkhla, bahasa Thai lebih diutamakan. Hal ini mungkin disebabkan di tiga wilayah tadi, majoriti besar penduduknya beragama Islam tetapi di Songkhla hanya 50% sahaja Muslim.

b. Ada ‘maskulin’ dan ‘feminin’: Rupa-rupanyanya ada perbezaan pertuturan antara lelaki dan perempuan. Contohnya, jika lelaki menyebut “Selamat Datang” dengan “Sawadi Kap”, yang perempuan akan menyebut “Sawadi Kaa”.

c. Penulisan: Untuk bahasa Melayu, mereka menggunakan tulisan jawi. Tidak ramai yang mahir menggunakan tulisan rumi.

d. Bunyi huruf: Huruf “Y” dibunyikan seperti huruf “J”. Jadi wilayah Yala seharusnya disebut “Jala”. Begitu juga “Hat Yai” disebut “Hat Jai”.

5. Kenderaan:
a. Motor: Hanya pemandu motosikal sahaja yang diwajibkan memakai topi keledar. Perempuan yang membonceng biasanya duduk secara ‘side-ways’ (mengiring), walaupun motor dibawa dengan laju (ala zaman vespa dan baju kebaya dalam tahun 60-an). Tiga orang dewasa menaiki sebuah motosikal merupakan perkara biasa. Kalau membawa kanak-kanak, ada kalanya sampai berlima. Motosikal juga kerap disambungkan dengan ‘side-car’ dan dipanggil “cho-lei” (tidak pasti ejaan sebenarnya). Cho-lei boleh menjadi kenederaan keluarga yang boleh dinaiki hingga 10 penumpang. Ada juga yang berbumbung. Ia juga digunakan untuk membawa barang atau untuk berniaga.

b. Kenderaan ‘pick-up’ pacuan epat roda: Ia juga merupakan kenderaan keluarga yang boleh membawa sehingga lebih 20 orang. Walaupun dalam keadaan berhimpit dan perjalanannya melebihi 100 kilometer, ia merupakan perkara biasa – dan dipandu laju juga. Yang peliknya, tiada pula yang jatuh. Ada juga yang dijadikan kenderaan awam dan pelanggan perlu membayar untuk menaikinya.

aidiladhathai2-4 aidiladhathai2-5 aidiladhathai2-7
Poster senator Muslim: sebahagiannya dalam tulisan jawi. Seorang wanita sedang menaiki Cho-lei Stesen Radio Risalah

6. Taraf kehidupan dan pendidikan: Tangga gaji di seluruh Thailand jauh lebih rendah berbanding Malaysia. Pemegang ijazah bergaji tidak sampai RM1,000. Tahap pendidikan di Selatan Thai pun lebih rendah. Ini mungkin ada kaitan dengan perancangan secara sengaja kerajaan Thailand untuk tidak membangunkan wilayah selatan tersebut. Berada di sana seolah-olah hidup dalam tahun 70-an.

7. TV dan radio: Dikhabarkan terdapat lebih kurang 40 rancangan televisyen di Selatan Thai. Cakera satelit (satelite disc) adalah pemandangan biasa. Ada juga rancangan TV Islam, sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Thai. Siaran radio juga banyak. Untuk membuat siaran radio sendiri juga adalah mudah. Di Selatan Thai, terdapat dua siaran radio Islam yang boleh didengar di kesemua empat wilayah.

aidiladhathai2-8 aidiladhathai2-9
Semua meter elektrik diletakkan di tiang elektrik.
"Mari, mari beli minyak Ma-lae!"

8. Meter elektrik: Di Thailand, meter elektrik semuanya diletakkan di tiang elektrik. Saya rasa kalau perkara serupa diamalkan di Malaysia, ia hanya akan menjadi mangsa vandalisme.

9. Minyak Ma-lae: Terutamanya di Narathiwat, di pinggir jalan atau di kedai, banyak dijual minyak petrol dalam botol yang dibawa masuk dari Malaysia. Harganya lebih murah daripada yang dijual di stesen minyak.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook