
Alhamdulillah pagi ini (Khamis, 16 Jun 2011) Allah Subhanahu wa Taala memberikan kesempatan kepada saya untuk bersama dengan anak-anak yatim mangsa tanah runtuh di Hulu Langat baru-baru ini.
Perjalanan dipermudah Allah kerana dari Shah Alam ke Kilometer 14 Hulu Langat mengambil masa 45 minit sahaja melalui Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) dan Jalan Kajang-Semenyih...
Setibanya saya dan rombongan ke penempatan sementara Pusat Latihan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), kami telah disambut oleh sukarelawan dan ketua warden, Hambal. Ketika itu ada 16 orang pelajar tingkatan satu dan dua yang sedang mengikuti kelas persediaan sebab mereka bersekolah petang.
Antara perkara yang diceritakan:
1. Banyak sumbangan yang berbentuk kewangan, makanan, pakaian dan peralatan yang diterima sehingga memenuhi beberapa bilik Pusat Latihan YADIM. Mereka risau tentang tarikh luput beberapa makanan yang diterima. Mereka amat memerlukan kewangan untuk membina semula Maahad Tahfiz di tempat yang lebih selamat. Tiada khabar berita daripada beberapa tabung yang dilancarkan walaupun khabarnya telah mencecah jumlah jutaan ringgit!
2. Dua orang sukarelawan masih lagi terlantar di hospital; seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang kerana kegagalan buah pinggang, seorang lagi terpaksa dipotong kaki kerana lama terhimpit. Kedua-dua mereka memerlukan bantuan kewangan serta lawatan segera.
3. Anak-anak masih lagi trauma terutama ketika tidur... Masih ada yang mengigau menyebut, “Lari... tanah!” dan menjerit.
4. Ada ibu bapa yang sudah bertahun tidak menjenguk anak-anak, sekarang mengaku waris yang sah dan menuntut wang pampasan... Tamaknya manusia...
5. Beberapa anggota bomba menceritakan mereka terhidu bau yang cukup wangi ketika menjalankan operasi menyelamat tempoh hari...
6. Ada mangsa yang ditemui bertiga sedang dalam keadaan berdiri (qiam) solat dan dalam saf sambil menghadap kiblat...masya-Allah!
7. Ada sukarelawan yang kehilangan dua orang anak lelaki namun masih terus menyumbang bakti kepada anak-anak yatim ini...
Kesimpulan
Tragedi tanah runtuh di Hulu Langat telah membongkar beberapa perkara yang baik dan juga kurang baik dalam kalangan masyarakat kita. Allah Subhanahu wa Taala membenarkan kejadian ini agar kita mempelajari sesuatu. Marilah kita mengambil iktibar daripadanya...




Comments
RSS feed for comments to this post.